ramadhan yang menjijikkan

Bismillah...maklumlah, nama pun bulan puasa, jadi serba serbi seakan secara sendiri menjadi begitu rohani. Sebelum ini tak pernah pula ditulis Bismillah diawal setiap tulisan. Tapi sempena bulan puasa ni, semuanya nak jadi begitu spiritual. Agak sudah lama saya tidak tulis di laman ni. Bukan kerana sibuk dengan urusan2 seharian, tapi terlalu banyak yang ingin ditulis namun saya acapkali melewati masa2 yang lapang dengan benda2 yang lebih perlunya untuk diletakkan di ruang keutamaan.

Sepanjang itu juga ada cerita utama yang sangat teruja untuk saya tulis ; kisah di bulan ramadhan. Saya gelarkannya sebagai Ramadhan yang menjijikkan. Kenapa?. Kalian akan tahu sebentar lagi.

Sewaktu saya manaip, hari ini merupakan hari yang ketujuh saya berpuasa. Alhamdulilah. Dalam tujuh hari, hari ini adalah kedua kalinya saya ke bazar ramadhan. Bazar ramadhan memang popular bila masuk bulan puasa. Yang tak pernah berniaga, roti jalanya laku sungguh!. yang tak pandai memasak, ramai yang beli dia punya gulai tempoyak!. Sesuatu yang cukup positif. Bulan puasa memberi banyak rahmat kepada umatnya. bukan saja sekadar pahala yang tak nampak, tetapi juga tuhan bagi kita limpahan duit untung hasil dari berniaga di bulan puasa.

Tapi malang sekali bila bulan ramadhan yang dianggap suci, saya bimbang kesuciannya dijijikkan dengan tingkah laku orang2 yang berniaga di bazar ramadhan. Bazar ramadhan jual makanan. Ada yang jual nasi dagang, ada yang jual nasi kukus, ada yang jual ayam berempah, ada yang jual chicken chop, ada yang jual air tebu, ada yang jual air asam campur laici (Pelik!) ada juga yang sekadar jual karipap. Saya kira, apabila ramadhan yang suci dan penuh rahmat ini diambil kesempatannya dengan berniaga makanan untuk santapan berbuka, persembahan makanan2 itu semua sepatutunya hygiene. Bersih. Tapi sebaliknya berlaku.

Langau2 dibiarkan diharungnya diatas makanan2 yang terdedah. Tapi yang peliknya, ramai pula yang berminat untuk membelinya!. Apakah mereka tidak nampak langau2 berterbangan dan sekejap2 menapak di makanan2 tersebut?. Inilah siliapnya orang2 yang berpuasa. Kerana terlalu takjub dengan keenakan makanan, hinggakan yang jelas kotor dibiarkan saja. Yang penting sedap!. Hati yang bersih disepanjang siang hari menjadi kotor, gelap jiwanya kerana makanan yang kita makan hasilnya bukan dari sumber yang bersih. Bulan Ramadhan yang maha sucinya ini menjadi cukup menjijikkan apabila sumber2 makanan yang dihasilkan dari keadaan yang cukup kotor dan menjijikkan menjadi santapan yang menyelerakan bagi kebanyakkan umat islam berpuasa. Tapi kita tak nampak semua tu. Kita asyik bercerita tentang keharmonian masyarakat islam dibazar ramadhan. Tapi kita lupa bahawa banyak dikalangan peniaga2 dan pembeli2 sebenarnya telah menidakkan kebersihan itu sebahagian daripada iman. Apakah diterima puasa kita apabila iman dari konsep kebersihan islam itu dinafikan?.

Tak cukup dengan itu, saya sempat juga melirik2 digerai2 yang menjual air. Oh, ini lagi menjijikkan. Peniaga lupa bahawa air yang dicedok lalu menyimbah diatas tangannya sendiri dan dari tangannya yang hitam dan berpeluh itu, lelehan air minuman tadi mengalir jatuh semula masuk kedalam tong air!. Hanya kerana warnanya yang menarik dan sejuk, kita tak nampak kekotoran yang berlaku didepan mata!. Kenapa tak tercapai akal peniaga untuk mencedok air dan alihkan keluar dari tong?. Mengapa mesti dituangnya air dalam tong itu juga?...Tidakkah dia terfikir apabila air dituangkan dalam tong akan terpercik ke tangan dan titisan2 dari tangan jatuh semula ke dalam tong? Lalu dibayarlah pembeli dengan harga RM2.50 dan anak2nya seisi keluarga sama2 minum dengan nyamannya sewaktu berbuka. Saya tidak menidakkan keperluan bazar ramadhan, tapi apa yang dibimbangkan adalah kealpaan kita untuk mengambil kira soal kebersihan dalam penyediaan makanan. Kalau tak nampak lain cerita, ini sudah terang lagikan bersuluh!. Langau2, habuk2 melekat, makanan yang dibiarkan terdedah, air2 peluh tangan jatuh kedalam air, kuku dan tangan yang kotor - Semua ini yang kita tak nampak akibat dari keterujaan kita untuk menikmati juadah yang "enak" di bazar ramadhan.

Ada lagi kisah pelik umat islam dibulan puasa yang mahu saya ceritakan. Tentang imam di sebuah masjid dimalam2 terawikh. Tapi saya rasa cukup setakat ini dulu.

selamat berpuasa!